New York: Seorang imam meninggal dunia selepas ditembak di luar sebuah masjid berhampiran New York, kata pendakwa raya negeri, pada Rabu.
Menurut pendakwa raya, pembunuhan itu pada mulanya tidak kelihatan didorong oleh "bias" atau keganasan domestik.
Pendakwa raya berkata, lelaki itu, Hassan Sharif, ditembak beberapa kali sebelum dibawa ke hospital di mana dia kemudian disahkan meninggal dunia.
"Kami belum tahu motif untuk jenayah ini (tetapi) bukti yang dikumpul setakat ini tidak menunjukkan bahawa ini adalah tindakan yang didorong oleh 'bias', atau tindakan keganasan domestik," kata Pendakwa Raya New Jersey Matt Platkin.
"Berdasarkan peristiwa global, dan dengan peningkatan 'bias' yang dialami oleh banyak komuniti di seluruh negeri kita - terutamanya masyarakat Islam - terdapat ramai di New Jersey sekarang yang merasakan rasa takut yang memuncak," kata Platkin.
Negeri itu adalah rumah kepada 300,000 orang Muslim Amerika, katanya.
Sejak meletusnya perang Israel-Hamas, terdapat peningkatan dalam serangan Islamofobia dan anti-Semitik di seluruh Amerika Syarikat.
Pendakwa raya daerah Essex Ted Stephens mengesahkan Sharif ditembak lebih daripada sekali, dan "tidak nampak imam itu mangsa jenayah 'bias' atau ini berkaitan dengan keganasan."
"Kami berdedikasi untuk membawa keadilan untuk keluarga imam," kata Stephens, yang menyebutnya sebagai "jenayah yang mengerikan."
Pentadbiran Keselamatan Pengangkutan Amerika Syarikat (TSA) sebelum ini mengesahkan bahawa Sharif bekerja sebagai penyaring keselamatan di lapangan terbang Newark sejak 2016.
"Kami sangat sedih mengetahui pemergiannya dan menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga, rakan dan rakan sekerjanya," kata Lisa Farbstein, jurucakap TSA.
Imej yang diterbitkan oleh Majlis Hubungan Amerika - Islam (CAIR) cawangan New Jersey menunjukkan kenderaan polis ditempatkan di luar masjid Masjid Muhammad-Newark, sebuah kompleks kuning dan hijau dua tingkat.