Jakarta: Mahkamah Syariah Banda Aceh, baru-baru ini, menjatuhkan hukuman penjara empat tahun terhadap tiga wanita kerana terbabit kegiatan pelacuran dalam talian.
Portal berita Prohaba.co melaporkan, selepas menjalani beberapa siri perbicaraan di Mahkamah Syariah Banda Aceh, panel hakim yang diketuai Ketua Hakim Negara, Fauziati menjatuhkan hukuman penjara kepada ketiga-tiga tertuduh berusia 22,23 dan 24 tahun itu.
Dalam perbicaraan berasingan terhadap seorang tertuduh dikenali dengan singkatan MWD, dinyatakan secara sah dan meyakinkan terbukti bersalah melakukan zina berdasarkan Pasal 33 ayat (3) Kanun Aceh Nombor 6 Tahun 2014 tentang Hukum Jinayat.
"Menjatuhkan hukuman penjara kepada 'Uqubar Ta'zir selama empat tahun enam bulan," kata keputusan yang dibacakan pada 28 Disember lalu.
Sementara itu, dalam perbicaraan bagi tertuduh dikenali dengan singkatan DNAH dan ZNTM, mereka dijatuhkan hukuman empat tahun atas sabit kesalahan melanggar akta sama.
Hakim memerintahkan ketiga-tiga banduan itu kekal dalam tahanan sehingga tempoh penjara mereka selesai.
Terdahulu tertuduh ditahan Polis Banda Aceh di sebuah hotel di Ulee Kareng pada Ogos tahun lalu.
Polis membuat penyamaran dengan menempah dua wanita di hotel terbabit kira-kira 11.30 malam, 15 Ogos lalu.
Berbekalkan maklumat terbabit, pasukan polis bergerak ke lokasi itu sebelum melakukan serbuan dan menahan tiga suspek.
Polis menemui bukti satu telefon bimbit iPhone 13 Pro Max, kad ATM bank, wang tunai 5 juta rupiah (RM1,501.13) yang dikeluarkan dari ATM seorang suspek.
Polis turut merampas satu unit telefon bimbit jenama iPhone 11, satu Iphone 8 Plus dan dua unit kontraseptif selain sebuah motosikal yang digunakan untuk ke hotel berkenaan.